SAYA sering membaca kisah-kisah yang dipaparkan dalam ruangan ini yang  banyak mengisahkan kecurangan suami sahaja. Biasanya kaum wanitalah yang  sering mengadu tentang keburukan kelakuan, tabiat dan perbuatan sumbang  suami masing-masing.
Namun  saya tak salahkan mereka kerana mereka yang merasakan penderitaannya  tentulah sakit hati dan ingin meluahkan perasaan masing-masing. Mereka  tahu cerita mereka menjadi rahsia, dan apa yang tersemat di hati mereka  cuma penulis sahaja yang tahu.
Tetapi kali ini saya ingin mencurahkan perasaan saya. Kalau selalunya  wanita berasa tertipu dengan suami masing-masing, perasaan saya lebih  sakit lagi apabila dikhianati isteri sendiri. Demikian cerita Zain  ketika penulis menghubungi beliau setelah membalas e-melnya kerana ingin  bertanya lebih lanjut lagi.
Memang terkejut tetapi bukan mustahil boleh berlaku kerana dunia ini pentas dan kita semua adalah pelakonnya.Apa perasaan puan bila baca cerita saya, terkejut tak? Tentu  terkejutkan! Saya rasa bukan saya seorang sahaja suami yang berperasaan  demikian. 
Ada lagi mungkin tidak ramai kaum lelaki yang mempunyai  pengalaman pahit seperti yang saya lalui, tetapi mereka suka mendiamkan  diri. Dulu saya pun menyimpan perasaan yang sama, tetapi semakin lama  kita simpan semakin perit, pedih dan menjadi racun berbisa.
Jadi hari ini saya luahkan kepada puan, pertimbangkanlah. Memang benar  zaman ini macam-macam perkara yang kita tak sangka boleh berlaku.  Demikian pengalaman pahit yang saya lalui.
Saya bekerja tetap tahun 70-an, oleh kerana saya daripada keluarga  susah, ramai adik-beradik, maka saya amat sayangkan kerja. Saya bekerja  tak tentu masa kerana terlalu gembira dengan tugas, sesuatu yang saya  idam-idamkan
selama ini.
Walaupun saya mendapat tawaran ke U tetapi saya tolak, sebab keluarga  miskin, jadi saya berkorban supaya saya boleh bekerja dapat duit, bantu  ayah sekolahkan adik-adik. Saya bersyukur semua adik-beradik saya  berjaya dalam pelajaran, lulusan U dan semuanya memegang jawatan yang  baik juga.
Biarpun saya tidak lulus U tetapi kerana dedikasi dan ketekunan bekerja,  saya naik pangkat dan menjawat jawatan yang baik. 
Ini balasan Allah  daripada pengorbanan besar yang saya lakukan demi pelajaran adik-adik  saya.Kerana terlalu sayangkan kerja, saya terlupa usia semakin meningkat dan  tak kahwin. Hidup saya cuma rumah dan tempat kerja saja. Sebelum pukul 8  saya dah mula bekerja dan balik pukul 6 petang ada kalanya lewat malam.  Dan bila kerja banyak ada kalanya sampai pagi. Hari Ahad dan Sabtu sama  saja. Ada satu ketika rutin ini berterusan hingga 114 hari, termasuk  hujung minggu dan cuti umum, hingga risau ibu di kampung.
Saya hanya lulus MCE, tetapi nasib menyebelahi saya. Jawatan kerajaan  yang dipegang adalah idaman ramai. Pendapatannya lumayan bagi seorang  bujang umur 20-an, dapat kereta baru, dan dihormati ramai, tentu glamor  juga di mata gadis-gadis.
Tetapi kerana taksub dengan kerja, saya lupa dunia, hiburan dan hidup  berkeluarga. Akhirnya ketua jabatan, seorang pengarah merancang  konspirasi menjodohkan saya kerana tidak mahu melihat hidup saya habis  di pejabat.
Awal tahun 70-an usia dah dekat 30 tahun masih bujang. Di pejabat, saya  digelar the most eligible bachelor. Konspirasi mereka menjadi, mereka  memaksa saya berkahwin dengan seorang gadis yang boleh dikatakan cantik  juga.
Anak ulama daripada keluarga agak tersohor dan dikenali secara peribadi  oleh ketua jabatan saya. Hampir setahun berkenalan, akhirnya saya  mendirikan rumah tangga dengan Hamizan.Belum dua tahun berkahwin, Hamizan melahirkan anak, disusuli seorang  lagi tiga tahun kemudian dan ketiga, lima tahun kemudian. Dalam pada itu  saya dinaikkan pangkat, melayakkan saya menduduki banglo kuarters  kerajaan di KL. Saya juga dianugerahkan bintang kebesaran Persekutuan,  semua dalam tempoh kurang 13 tahun saya bertugas.
Hamizan bekerja di sebuah badan berkanun. Dia gemar bersukan apa jenis  pun dan aktif berpersatuan. Rajin menyertai kegiatan kesenian dan  kebudayaan, seperti menari dan berdrama.
 Kebolehannya ini membawanya ke  seluruh negara dan ASEAN dalam misi mengeratkan silaturahim antara  badan-badan yang sama antara negara tersebut.Kerana aktif berpersatuan, dia sering pulang lewat selepas pukul 8 malam  dan kadangkala sehingga pukul 10 malam. Saya tidak merasa syak-wasangka  kerana kami diketahui ramai sebagai pasangan ideal. Tetap bergurau  senda, berpegang tangan semasa berjalan dan tidak kurang menunjukkan  affection pada bila-bila masa. 
Kami saling sayang-menyayangi.Suatu hari lebih kurang sedekad lalu, seorang hamba Allah menelefon saya  dan bertanya mengapa saya biarkan isteri diusung orang merata tempat.  Saya jadi bingung kerana selama ini Hamizan tidak menunjukkan sebarang  tanda dia curang selain pulang lewat. Sungguhpun saya sangsi cerita  pemanggil itu, namun hati saya mula curiga. Saya bawa bertenang, dan  tidak terburu-buru menyergah Hamizan. Saya cuba siasat sendiri.
Suatu hari saya pulang pukul 3 pagi, dengan kehendak Allah jua saya  ternampak bukti pertama sebuah diari di sebelah Hamizan, ketika itu dia  tertidur. Hampir pitam saya bila membelek diari itu. Rupa-rupanya dia  keluar masuk hotel dengan teman-teman lelakinya, termasuk orang  berpangkat tertinggi di jabatannya, juga berpangkat rendah.
Bila diajukan dengan bukti Hamizan tidak dapat mengelak daripada  mengakuinya. Dia menceritakan segala-galanya, termasuk kecurangannya.  Mahu saya cekik dia ketika itu. Tapi ingatkan anak-anak dan maruah  keluarga, saya mengucap berkali-kali. Ketika itu anak-anak sedang  membesar dan pencapaian pelajaran mereka amat menggalakkan. Mengenangkan  masa depan mereka, saya tidak bertindak. Kalau dulu saya berkorban  untuk adik-beradik, kali ini saya berkorban untuk anak-anak, maruah  mereka dan keluarga saya.
Walaupun marah, namun saya beri amaran keras bahawa sekiranya perbuatan  ini berulang lagi padahnya amat berat. Dia menangis meminta ampun.
Malangnya pisang berbuah banyak kali. Hamizan mengulangi kegiatannya  meskipun tidak lagi pulang lewat. Kali ini saya menemui bukti setelah  menerobos masuk ke e-melnya. Kali ini temannya seorang jurutera sebuah  syarikat telekomunikasi dan seorang jeneral yang pernah dikenali semasa  remaja. Saya tak mahu marah lagi, kerana inilah sifat buruknya yang  sebenar. Mulai hari itu antara kami sudah tidak ada apa-apa.
Namun untuk meyakinkannya saya hubungi teman-temannya itu, dan berjaya  mendapatkan pengakuan bertulis mereka, ada juga secara lisan. Saya  beritahu mereka perbuatan mereka akan ada balasannya, tiada statute of  limitation, bermakna balasannya mungkin serta-merta, lepas lima tahun  atau 20 tahun, bila-bila saja. Allah maha besar.
Apa yang menghairankan saya, Hamizan bukan anak orang sembarangan, dia  anak ulama, pandai mengaji al-Quran kalau berlagu ala qari terkenal  Ismail Hashim, baca Yasin setiap malam Jumaat dari dulu sampai sekarang,  sembahyang, puasa, termasuk yang sunat, tak pernah tinggal, bertudung,  pakaian sopan. Malah kalau berzanji merdu suaranya. Setelah difikirkan  baru saya sedar, apa yang dilakukan adalah untuk mengaburi mata saya  daripada melihat maksiat dan kecurangan yang dilakukan di luar.
Walaupun saya begitu marah tetapi memukul tidak sekali-kali. Saya bawa  bertenang kerana memikirkan anak-anak kami ketika itu sedang membesar.  Tetapi sedihnya peristiwa pahit dalam kehidupan saya, belum berakhir.  Satu hari anak kedua saya Nuraine yang melanjutkan pelajaran dalam  bidang kejuruteraan di IPTA pulang bercuti. Sampai di rumah dia terus  memeluk saya dengan tangisan. Katanya, dia bukan anak saya. Darah kami  berlainan.
Saya terkejut besar. Bila saya tanya mana dia tahu, katanya ketika  menderma darah dia dapati jenis darahnya tidak ada persamaan dengan  darah saya. Saya langsung tidak terfikir kecurangan Hamizan sampai ke  tahap ini.
Hamizan ketika ditanya menafikan, namun ujian darah membuktikan bahawa  Nuraine adik-beradik dengan anak-anak saya yang lain, satu emak tetapi  lain ayah. Hamizan tetap berdegil tidak mengakui kesahihan ujian  tersebut, meskipun saya dapat agak siapa sebenarnya ayah Nuraine.
Malah pernah rakan-rakan sepejabat Hamizan ada mengatakan wajah Nuraine  sama seperti salah seorang pegawai tinggi di pejabatnya. Tetapi Hamizan  menafikan. Bukan sekali dua wajah Nuraine menjadi pertanyaan ramai,  banyak kali.
Hamizan kini masih sebumbung dengan saya, tetapi saya tidak pernah  menyentuhnya sejak hampir 10 tahun lalu. Anak-anak tidak menghormatinya  lagi. Mereka enggan bertegur sapa, tidak bercakap sopan, kalau bercakap  pun dengan kasar, membuatkan Hamizan menangis.
Anak-anak tahu perbuatan keji emak mereka dan tahu pengorbanan saya demi  menjaga hati, maruah dan pembelajaran mereka. Anak sulung saya kini  star-performer di jabatannya. Nuraine mewakili syarikatnya bertugas di  Eropah sementara anak ketiga akan tamat pengajian tidak lama lagi.  Inilah pengorbanan saya. Biar hati lebur asal anak-anak bahagia.
Yang penting saya tidak mahu korbankan masa depan mereka dengan sikap saya yang tidak sabar dan mengikutkan rasa saya.Nuraine hampir setiap hari menelefon saya bertanya khabar. Anak-anak  lebih sayangkan saya dan lebih suka berbincang dan berbual dengan saya  daripada emak mereka. Inilah sebabnya saya masih tidak menceraikan  Hamizan.
Saya tetap tidak mengampunkan Hamizan. Biar dia nazak dan meminta maaf  atau saya sedang nazak dan dia sujud menangis meminta ampun, saya tetap  tidak akan memaafkannya. Saya tahu Allah Maha Pengampun, Nabi Muhammad  juga mengampunkan umatnya. Namun, saya bukan Allah dan saya juga bukan  Nabi Muhammad. Saya seorang biasa dan tidak akan melakukan sesuatu untuk  menyamai Allah atau Nabi.
Ada saya terbaca bahawa ibadah seseorang isteri tidak diterima Allah  sekiranya dia melakukan dosa besar terhadap suaminya dan tidak mendapat  pengampunan daripadanya. Jika benar, saya tidak akan mengampunkan apa  juga dosa Hamizan. Sungguh saya tidak menyangka kebahagiaan, kesenangan,  kesetiaan dan kepercayaan yang saya curahkan kepada dia disia-siakan.
Kalaulah membunuh bukan satu kesalahan dan tidak membawa aib kepada  keluarga, sudah lama saya cincang-cincang Hamizan untuk menjadi jamuan  anjing-anjing liar di tepi jalan dengan daging busuknya, demikian cerita  Zain.
Nampaknya Zain telah melakukan pengorbanan besar bukan sahaja untuk  adik-beradiknya, anak-anaknya malah menjaga nama baik dan maruah  mentuanya. Namun saya tertanya-tanya apakah Zain sudah bertanya kehendak  Hamizan untuk masa depannya? Mungkin dia ingin menjadi burung yang  terbang bebas? Kepada pembaca, dapatkah anda pertimbangkan jika  mempunyai isteri yang curang seperti ini? 
Slider
Travel
Performance
‹
›
Cute
My Place
Slider
Racing
Videos
Tagged with: kisah menarik
About Unknown
This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments