Select Menu

Slider

Travel

Performance

Cute

My Place

Slider

Racing

Videos

KUALA LUMPUR - Loji nadir bumi Lynas di Gebeng, Pahang tidak terjejas dengan banjir dan beroperasi seperti biasa.

Kenyataan Lynas Malaysia Sdn Bhd berkata kemudahan menyimpan sisa (RSF) loji itu telah dibina sebegitu rupa bagi menghalang sebarang larutan meresap ke dalam tanah dan tersebar di alam sekitar serta memenuhi piawaian kebangsaan dan antarabangsa.

"RSF direka bentuk dan dibina bagi menyediakan keupayaan mencukupi membendung air yang disebabkan banjir yang melanda kawasan sekitarnya," kata kenyataan itu.

Lynas turut melahirkan rasa simpati kepada mereka yang terbabit dengan banjir di Pahang terutama Kuantan. - Bernama
-
KUALA LUMPUR 6 Dis. - Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti tiga buah karya novelis Faisal Tehrani untuk memastikan penulisannya tidak mengandungi unsur fahaman syiah dan menyimpang daripada fahaman Sunnah Wal Jamaah yang diamalkan di negara ini.

Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tiga karya itu -,Tiga Kali Seminggu, Drama Pentas Karbala dan kumpulan puisi Ingin Jadi Nasrallah - masih lagi di peringkat penilaian, dan jika didapati tidak menyalahi fahaman Islam di negara ini, akan dibenarkan diedar untuk bacaan ramai.

"Jika karya atau puisi ini tidak ada kaitan dengan sebarang ajaran Islam yang salah termasuk syiah, jadi ia tidak patut diharamkan. Saya akan benarkan buku berkenaan diedarkan jika kandungannya tidak terpesong daripada ajaran Islam," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian kepada pemberita apabila diminta mengulas mengenai perkembangan tiga karya Faisal itu berikutan dua novelnya diharamkan sebelum ini iaitu Perempuan Nan Bercinta dan Sebongkah Batu di Kuala Berang kerana didapati mengandungi unsur fahaman Syiah.

Terdahulu beliau melancarkan dua buah buku hasil tulisan Datin Seri Shuryani Datuk Shuaib berjudul Je T’aime dan The Glory of God di sini hari ini.

Shuryani adalah isteri Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. - BERNAMA

-
KUALA LUMPUR 6 Dis. - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membawa usul untuk memasukkan perkataan Sunnah wal Jamaah dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai memperincikan takrifan Islam sebagai agama persekutuan negara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata usul itu akan dibawa kepada kerajaan untuk dibincangkan bagi menghalang fahaman lain termasuk Syiah daripada berkembang di negara ini.

"Ini adalah untuk memastikan agama rasmi negara adalah berasaskan Sunnah wal Jamaah dan bagi mengelakkan kefahaman lain dikembangkan di negara ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan dua buah buku hasil tulisan Datin Seri Shuryani Datuk Shuaib iaitu isteri Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai cadangan Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairul Azwan Harun untuk mentakrifkan Islam sebagai agama rasmi negara yang diperincikan hanya kepada pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah.

Cadangan itu dibuat pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO yang sedang berlangsung di sini.

Ahmad Zahid berkata dengan memasukkan perkataan itu, tiada penganut agama Islam yang mempunyai fahaman lain dibenarkan mengembangkan fahaman mereka selain Sunnah wal Jamaah.

- BERNAMA

- -
SEREMBAN: “Saya memohon maaf bagi pihak jabatan atas kejadian itu dan menyifatkan tindakan terbabit seperti seekor kerbau membawa lumpur, habis semua terpalit,” kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Dr Zailan Adnan.

Beliau berkata demikian selepas menerima aduan di Facebook daripada seorang keluarga pesakit Hospital Jempol, dekat sini, yang tidak berpuas hati tindakan jururawat dan pemandu ambulans hospital itu yang berhenti makan ketika membawa pesakit.

Aduan itu tersebar luas di laman sosial berkenaan selepas pengadu menyatakan ketidakpuasan hatinya terhadap jururawat dikatakan bercakap kasar, memberi layanan buruk dan mengumpat pesakit.

Dalam aduan itu, pengadu menyatakan kekecewaan apabila pada jam 11 malam 30 November lalu, pemandu ambulans berhenti di kedai makan untuk menjamu selera selama 30 minit sedangkan ibunya diserang strok dibiarkan sendirian dalam kenderaan.

Menurut aduan, kejadian berlaku ketika ibu pengadu dalam perjalanan dipindahkan dari Hospital Jempol ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), di sini, untuk rawatan lanjut.

Zailan berkata, setakat ini, beliau hanya menerima penerangan ringkas dan akan memeriksa secara terperinci.

Menurutnya, dalam isu itu pemandu ambulans serta jururawat tetap disalahkan kerana melanggar peraturan bekerja, namun pengadu difahamkan turut bertindak keterlaluan.

“Saya sebelum itu dimaklumkan pengadu meminta dua jururawat menjaga ibunya sedangkan hospital kekurangan kakitangan dan menerima ramai pesakit menyebabkan permintaannya tidak dilayan,” katanya.

Beliau berkata, biarpun begitu, pihaknya akan menegur kakitangan hospital itu, namun tindakan penggantungan tugas tidak dapat dibuat kerana ia bukan kes jenayah.

“Pemandu ambulans tidak akan digantung kerja kerana Hospital Jempol mengalami kekurangan pemandu,” katanya.

Kata Zailan, enam hospital dan 46 klinik kesihatan di negeri ini turut terpalit dengan insiden berkenaan walaupun selama ini pihaknya berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

-Harian Metro
-
Satu Kemalangan melibatkan 3 buat kereta mewah Lamboghini di Km 260.1 dari Port Dickson menuju ke Seremban.

Menurut info, lorong tengah & kanan terhalang dan trafik sesak.

Tiga Lamboghini tersebut berlanggar sesama sendiri dan mengakibatkan kebakaran yang teruk pada kereta Lamborghini berwarna hitam.

Ketiga-tiga kereta tersebut bernombor pendaftaran Singapura.

Melihat kepada foto kemalangan, kenderaan terlibat daripada model Lamborghini Gallardo.
-Sumber Gambar-DTR Group
Gambar hiasan
GEORGE TOWN: Dapur sebuah hotel bertaraf tiga bintang di Bukit Mertajam diarah tutup selama 14 hari selepas Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) mendapati ia kotor dan tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.

Pegawai Kesihatan Daerah Timur Laut Dr T.

Vasantha berkata hasil pemeriksaan di dapur itu semalam mendapati antara lain tempat menyimpan makanannya terdapat najis tikus.

"Ia tidak mematuhi elemen penting kebersihan seperti kehadiran makhluk perosak seperti tikus, peralatan makanan yang tidak bersih, cara penyimpanan makanan tidak betul dan amalan pengendalian makanan yang tidak bersih.

"Kita telah arahkan dapur itu ditutup untuk kerja-kerja pembersihan selama 14 hari dan premis berkenaan akan diperiksa semula sebelum dibenarkan beroperasi bagi memastikan ia benar-benar bersih," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata operasi oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan JKNPP yang turut disertai agensi penguat kuasa yang lain memeriksa 19 buah hotel di negeri ini dan mengeluarkan kompaun dan amaran atas pelbagai kesalahan.
-
Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Ching.
KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan akan menambah baik peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mulai tahun depan dan tidak akan memansuhkannya, kata Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Ching.

Beliau berkata penambahbaikan akan mengambil kira penilaian kognitif, perkembangan jasmani, emosi dan rohani pelajar.

"Penilaian di peringkat menengah rendah masih dilaksanakan, tetapi bukan dalam bentuk peperiksaan pusat.

"Penilaian akan dilaksana merangkumi empat komponen iaitu pentaksiran sekolah, pentaksiran pusat, pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum serta pentaksiran psikometrik," katanya menjawab soalan Datuk Sapawi Ahmad Wasali (BN-Sipitang) pada sesi soal-jawab di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjelaskan perkara yang akan ditaksir adalah mengenai pengetahuan, kefahaman, kemahiran dan nilai yang menjurus kepada pentaksiran profil, pencapaian, perkembangan dan penyertaan pelajar.

Yap berkata perkara tersebut terkandung dalam Surat Pekeliling Lembaga Peperiksaan Bilangan Dua 2011: Penambahbaikan Sistem Pentaksiran Kebangsaan Bagi Penilaian Menengah Rendah (PMR) Mulai Tahun 2012.

Beliau berkata pelaksanaan pentaksiran juga memberi autonomi kepada guru untuk melaksana pentaksiran formatif dan sumatif yang berasaskan sekolah dan memberi pengiktirafan kepada sumbangan guru dalam pencapaian pelajar. - Bernama
KUALA LUMPUR - Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan hari ini mengumumkan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 tidak perlu menduduki semula kertas soalan Matematik 2.

Keputusan itu dibuat berikutan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mendapati tiada kebocoran soalan berlaku bagi kertas tersebut ketika peperiksaan berlangsung pada 18 Nov lalu, menurut kenyataan dua para lembaga itu.

Semalam Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh dalam sidang media mengumumkan hasil siasatan itu.

Beliau berkata pihaknya telah menyiasat laporan yang dibuat oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia pada 22 Nov lalu dan telah memanggil 56 saksi untuk memberi keterangan, termasuk pelajar yang menyertai seminar yang didakwa soalan kertas itu dibocorkan.

Siasatan mendapati seminar itu yang dianjur pada 17 Nov lepas, iaitu beberapa hari sebelum peperiksaan bermula hanya membincangkan tentang kertas soalan beberapa tahun lepas serta beberapa soalan ramalan, katanya. - Bernama
-
SHAH ALAM: Selepas merasmikan Perhimpunan Agung Umno 2013, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bergegas ke Pahang bagi meninjau keadaan banjir di sana.

"Saya akan bertolak ke Pahang untuk menjenguk keadaan banjir di Kuantan, Rompin dan Pekan sebentar lagi. Doakan semuanya selamat," katanya yang dipetik dari laman mikro Twitternya, sebentar tadi.

Pahang antara negeri yang terjejas teruk akibat banjir yang melanda sejak awal minggu ini.

Sehingga semalam, banjir di negeri itu telah meragut satu nyawa, Mohamed Alif Khalid, 21, yang dijumpai lemas di Sungai Kampung Sepial, Kuala Tembeling, Jerantut.
Sementara itu, dua beranak, Jamal Ali, 40-an, Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Pekan dan anak lelakinya yang dikenali sebagai Megat, berusia belasan tahun, hilang apabila terjatuh ke dalam air semasa memindahkan barang di Perkampungan Sungai Isap kira-kira jam 8.30 malam tadi.

-Sinar Harian
-
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin hari ini mengingatkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) supaya lebih prihatin kepada nasib rakyat dan tidak hanya memikirkan mengenai keuntungan sahaja.

Menurut Khairy yang juga merupakan Menteri Belia dan Sukan, kenaikan tarif elektrik tersebut tidak setara dengan peningkatan kos bahan api yang hanya menguntungkan TNB.

Katanya, kenaikan ini kelihatan seperti mementingkan kantung pemegang saham, bukan rakyat jelata.

“Sekarang rakyat dan komuniti perniagaan pula mengeluh tentang tarif elektrik yang akan naik awal tahun depan.

“Namun kita difahamkan bahawa peningkatan tarif elektrik ini bukan sekadar untuk menampung peningkatan harga bahan api, tetapi juga bagi menambahkan laba keuntungan TNB yang sudah berbilion ringgit.

“… oleh itu kepada TNB dan juga GLC-GLC yang lain, Pemuda mendesak janganlah terlalu mementingkan prestasi kewangan semata, tanggungjawab kepada rakyat jangan sesekali dilupa,” katanya ketika memberi ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Umno di PWTC hari ini.

Ucapan Khairy itu mendapat tepukan gemuruh perwakilan.

Memetik laporan Bernama, subsidi elektrik dan gas akan disemak semula, dengan kadar purata tarif elektrik di Semenanjung Malaysia dinaikkan sebanyak 14.89 peratus atau 4.99 sen sekilowat sejam (KWJ) kepada 38.53 sen/kwj, berkuat kuasa 1 Januari 2014.

Tarif elektrik semasa ialah 33.54 sen.
-
Yeah...sekarang musim banjir. Terkini, diberitakan bandar Kuantan lumpuh dek kerana banjir.

Seorang individu telah menjadi mangsa korban pertama banjir kali ini. Kepada ibu bapa, awasilah anak-anak anda.

Kepada yang bekerja, cuti emergency lah kot?

Tapi yang kena pergi kerja jugak, terperangkap pulak dalam banjir, tiba-tiba ada abang fotografer nak ambil gambar, turunkanlah sikit kain tu, jangan lah selak tinggi sangat, kang eksiden pulak bot yang nak datang tolong!

Aurat tu kak oii.!


Hehehe...gurau je bang!
-
Kuala Lumpur: Usaha seorang guru sains bersama rakannya menggunakan tali untuk turun ke kaki bukit selepas tersesat ketika mendaki Bukit Tabur, di Taman Malawati, di sini, menemui kegagalan apabila mangsa maut akibat terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 20 meter, jam 8 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, sebaik menerima laporan berhubung kejadian, satu pasukan polis peronda dihantar ke lokasi untuk bantuan awal.

"Maklumat awal kita terima mengatakan ada seorang lelaki terjatuh dari level 10 Bukit Tabuh. Pada jam 9 malam, seramai lapan anggota dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan lima anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang telah naik untuk mengesan mangsa berpandukan maklumat yang diberikan rakan mangsa.

"Mayat mangsa ditemui di level sembilan bukit berkenaan kira-kira jam 11.55 malam dan disahkan meninggal dunia oleh anggota JPAM akibat kecederaan parah di muka dan badan," katanya.

Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Ampang untuk bedah siasat.
-
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta Tun Dr Mahathir Mohamd menimbangkan semula keputusan untuk melepaskan jawatan sebagai Penasihat syarikat minyak negara, Petronas.

Najib berkata, Petronas masih memerlukan khidmat nasihat daripada bekas Perdana Menteri itu demi kelangsungan pembangunan dan kejayaan syarikat itu.

Beliau mengesahkan telah menerima surat perletakan jawatan Dr Mahathir pada Jumaat dan menghormati hasrat negarawan itu.

"Atas nasihat daripada doktor beliau terpaksa mengurangkan penglibatan beliau dalam tugas tugas seharian dan oleh itu telah maklumkan kepada saya bahawa YAB Tun berhasrat melepaskan jawatan sebagai penasihat Petronas.

"Walaubagaimanapun setelah saya fikir atas perkara ini kerajaan berpendapat bahawa amat wajar dan amat sesuai YAB Tun terus berkhidmat sebagai penasihat Petronas kerana beliau mampu untuk terus memberi sumbangan kepada pembangunan dan kejayaan Petronas.

"Oleh itu dalam saya menghormati keputusan yang telah dibuat oleh YAB Tun atas nasihat doktornya. Saya berharap YAB Tun dapat memikirkan semula atas keputusan yang telah dibuat itu.

"Kerajaan mengalu-alukan agar YAB Tun dapat terus berkhidmat sebagai penasihat Petronas," katanya pada satu sidang media khas selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Biro Politik Hamas, Khaled Meshaal di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Pada Isnin, Dr Mahathir mengesahkan peletakan jawatan beliau sebagai Penasihat Petronas selepas mendapat nasihat doktor.
-
Kisah tentang perobohan "Candi" di Merbok kini dijadikan cerita panas. Malah pihak yang tidak tahu menahu tentang cerita ini pun kini bertukar menjadi pakar sejarah.

N. Surendran menyamakan perobohan "candi" tersebut sebagai tindakan setara Taliban memusnahkan patung Budha di Bamiyan satu ketika dulu.

Sebenarnya, ada tiga perkara yang Malaysiakini sembunyikan dari pembacanya, supaya perobohan "candi" ini akan dipersalahkan kepada Kerajaan Negeri Kedah, dibawah pimpinan YAB Dato Paduka Mukhriz Mahathir.

Komen RBA Screenshot dari Malaysiakini
1. Malaysiakini gagal memberitahu pembacanya bahawa "Pemaju telah membuat semakan status tanah, dan mendapat kebebasan dari terikat dengan apa2" pada 14 Januari 2013, dan meneruskan pembelian tanah tersebut pada Februari 2013. Siapakah kerajaan negeri yang memberi "clearance" pada masa itu, bukankah kerajaan Pakatan Rakyat, yang merupakan penaja penuh Malaysiakini?

2. Dari manakah wartawan Malaysiakini mendapat Gambar Before/After Seperti diatas? Mereka pastinya menulis artikel dari Kuala Lumpur dan tidak tahu pun dimana Candi Merbok tersebut. Sebenarnya, tidak ada Candi yang dirobohkan, yang dirobohkan hanyalah replika yang dibina pada tahun 1974, diatas tapak asal candi. Jadi, faktanya, TIDAK ADA CANDI YANG DIROBOHKAN.

3. Candi tersebut adalah tinggalan kerajaan Melayu beragama Hindu masa lampau, dan tidak sepatutnya dijadikan isu perkauman. Ini bukan Candi orang India, tetapi Candi Melayu.

Sebenarnya, isu ini adalah bukti kegersangan isu oleh DAP untuk memburukkan pemimpin Umno yang sepopular Mukhriz, kerana bimbang akan membayangi ketidakmampuan Ketua Menteri Pulau Pinang, yang hanya kuat retorik dan berbohong.

Sebenar, isu pemusnahan Candi ini memang berlaku, tetapi di Seberang Perai, Pulau Pinang, dimana kawasan Candi dirosakkan dengan pembinaan rumah-rumah burung walit dan penanaman nangka oleh kroni DAP.
Candi yang cuba dipelihara semenjak zaman British yang berusia 5000 tahun itu adalah Candi Guar Kepah, di Seberang Perai. Tapi tidak mungkin Malaysiakini sebagai Agensi berita DAP akan berani menerbitkan isu ini kerana bimbang dimarahi Tokong mereka.

Candi Guar Kepah, Apa Guan Eng dan P. Ramasamy Buat? Bina sarang burung Walit?

Kemusnahan Candi Guar Kepah akan kami dedahkan dalam artikel seterusnya, dengan harapan Malaysiakini dapat mendahului kami di Kedahtimes dalam isu candi, kerana mereka kononnya prihatin.

Kami juga berpendapat, Candi Guar Kepah sengaja dimusnahkan kerana ia mengadungi artifak yang membuktikan bahawa orang Melayu adalah penduduk asal Semenanjung Tanah Melayu, yang mengesahkan taraf bumiputra orang Melayu.

Sumber: Kedah Times


- -
BEKAS Perdana Menteri, Mahathir Mohamad sudah sah mengundurkan diri sebagai Penasihat Petronas.

Namun tindakannya berbuat demikian dengan menulis surat kepada Najib hanya beberapa hari menjelang Perhimpunan Agung Umno, menimbulkan sedikit tanda-tanya walaupun diketahui umum beliau kini sudah berusia 88 tahun dan baru saja menerima rawatan di Institut Jantung Negara.

Ramai yang bimbang jika tindakannya mahu meletakkan jawatan secara tiba-tiba kerana ada tujuan lain atau sebagai luahan rasa tidak puas hatinya yang semakin membesar terhadap kepimpinan Najib. Takkan tiba-tiba "burung tempua bersarang rendah", begitu reaksi banyak pihak mengenainya.

Dalam masa yang sama pengunduran Mahathir ini juga menimbulkan persoalan tentang siapakah pengganti yang akan mengambil alih tempatnya. Jawatan sebagai Penasihat Petronas biasanya diberikan kepada bekas Perdana Menteri sebagai mengenang jasa dan sumbangannya kepada negara.

Sebelum Mahathir, jawatan itu pernah disandang oleh Hussein Onn. Apakah dengan pengunduran Mahathir ini, Najib akan melantik Pak Lah pula ke jawatan itu? Atau tokoh-tokoh lain seperti Tengku Razaleigh dan Daim Zainuddin turut dalam pertimbangan Perdana Menteri untuk diberikan jawatan tersebut?

Mahathir sendiri ketika bercakap kepada pemberita semalam berkata, pengundurannya adalah kerana beliau sudah tua dan perlu banyak berehat.

Beliau juga dinasihatkan oleh doktor yang merawatnya agar mengurangkan aktiviti dan tidak terlalu aktif, sementara perjalanan ke luar negara pula hanya boleh dilakukan sekali saja dalam sebulan.

"Saya perlu lebih rehat dan banyak tidur," kata Mahathir lagi.

Walaupun faktor kesihatan dan perlu banyak berehat ini dapat diterima sebagai alasan pengundurannya, tetapi kesangsian tetap ada kerana jawatan sebagai penasihat itu bukanlah tugas sepenuh masa yang memerlukannya menguruskan perjalanan Petronas, pergi ke pejabat setiap hari atau menghadiri mesyuarat-mesyuarat penting.

Kedudukannya sebagai Penasihat Petronas hanyalah kerana jasa dan kedudukannya ssbagai bekas Perdana Menteri. Beliau tidak perlu ke pejabat setiap hari dan jika hanya tidur di rumah saja pun, tiada siapa yang akan marah atau menegurnya.

Jadi, kenapa perlu meletakkan jawatan?

Dalam masa yang sama juga, sebagaimana yang dipetik daripada laporan Berita Harian, Mahathir memberitahu, beliau hanya meletakkan jawatan sebagai Penasihat Petronas saja tetapi akan kekal sebagai Penasihat Proton.

Ramai juga bingung, boleh pula beliau kekal sebagai Penasihat Proton. Apakah bezanya Petronas dengan Proton?

"Saya hanya letak jawatan dalam Petronas. Proton bukan milik kerajaan, ia milik DRB-Hicom Berhad. Saya akan teruskan perjuangan saya bersama Proton," jelasnya.

Keadaan ini menampakkan seolah-olah beliau tidak mahu dikaitkan dengan sebarang jawatan dalam kerajaan tetapi akan terus berjuang bersama Proton.

Maknanya, tidaklah beliau hanya akan berehat dan lebih banyak tidur saja selepas ini.

Malahan, semalam juga, ketika bercakap mengenai rasuah yang didakwanya masih berkembang dalam Umno dan juga kerajaan, Mahathir juga berkata, beliau ada idea untuk membendung rasuah dalam Umno dan juga kerajaan dan akan mencari platform untuk menjelaskan idea tersebut.

Maknanya juga, beliau akan lebih sibuk bercakap mengenai rasuah selepas mengundurkan diri sebagai Penasihat Petronas ini. Bahkan mungkin juga lebih aktif, lebih aktiviti dan lebih banyak bergerak berbanding sebelum ini.

Namun demikian, apa pun alasan mengenai pengunduran Mahathir ini, persepsi orangramai, terutama ahli Umno terhadanya serta kemungkinan yang bakal berlaku selepas ini, rata-rata mengharapkan beliau terus sihat, cergas dan panjang umurnya.
-
BACHOK - Selari dengan Islam sebagai agama persekutuan, aspek pendidikan Islam di sekolah kebangsaan khususnya pengajian al-Quran, tidak wajar dipandang ringan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan perlu ditambah baik untuk mengatasi segala kekurangan di dalam modulnya.

Ahli Parlimen Bachok, Ahmad Marzuk Shaary berkata, Perkara 12 (4), Perlembagaan Persekutuan berhubung dengan hak-hak pendidikan menyatakan agama bagi seseorang berumur kurang 18 tahun ditetapkan ibu bapa atau penjaga mereka.

Justeru katanya, sebagai institusi bertanggungjawab sewajarnya kementerian memastikan anak-anak berumur tujuh hingga 12 tahun mendapat pendidikan berkualiti dan tepat berkenaan agama mereka.

Namun, setelah 18 tahun menjadi rujukan guru dan pelajar, Ahmad Marzuk mendakwa pihaknya menemui 447 kesalahan dan kekeliruan dalam Buku Iqra’ (Cara Cepat Membaca Al-Quran) Rasm Uthmani karangan Ustaz Haji As’ad Humam daripada Indonesia.

“Buku itu diperkenalkan pada 1995 dan diguna sebagai teks subjek Pendidikan Tilawah al-Quran dan Modul Khatam al-Quran Program j-QAF di sekolah kebangsaan seluruh negara.

“Bagaimana kesalahan sebesar ini boleh terlepas pandang dan terus digunakan sejak 1995 hinggalah sekarang,” katanya.

Ahmad Marzuk berkata, kementerian perlu mengambil kira pandangan pakar ilmu al-Quran, pakar pendidikan dan guru cemerlang sebagai langkah untuk mengatasi isu modul mengelirukan itu.

Justeru, beliau mencadangkan agar membekukan agihan buku Iqra’ tersebut bagi kajian semula dan diganti buku modul baru yang lebih komprehensif.

Katanya, cadangan itu bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) al-Quran bagi subjek Pendidikan Tilawah al-Quran dan Modul Khatam al-Quran Program j-QAF benar-benar dapat ditransformasikan, selaras dengan hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang mahukan keberhasilan murid diutamakan dalam pelaksanaannya.

Selain itu, beliau juga mencadangkan kerajaan dengan kuasa Menteri Pendidikan menubuhkan sebuah jawatankuasa siasatan atau jawatankuasa khas sebagaimana termaktub dalam Seksyen 127 dan 144, Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) bagi menangani isu itu secara lebih serius.

“Pembelajaran al-Quran merupakan suatu proses pendidikan utama, yang sewajarnya diberi penekanan dan perhatian serius oleh KPM, dalam memastikan murid dan rakyat menjadi insan kamil, yang bakal memberi manfaat kepada agama, negara dan bangsa,” katanya.
-
Kuantan: “Fahaman Wahabi sama bahayanya dengan Syiah dan penularan fahaman itu perlu disekat kerana bimbang menyesatkan umat Islam menerusi fahaman dan dakyahnya yang bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ),” kata Pengerusi Persatuan ASWJ Malaysia Abu Syafiq Mohd Rasyiq.

Menurutnya, berbeza dengan Syiah, belum ada fatwa rasmi dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai status fahaman Wahabi dan ia secara tidak langsung memberi ‘lesen’ kepada fahaman berkenaan untuk berkembang.

Katanya, lebih membimbangkan fahaman itu dikesan mula menular dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini dan mempengaruhi mereka yang mungkin tidak jelas mengenai bahaya fahaman berkenaan.

“Kita perlu jelas dengan fahaman (Wahabi) ini yang sering membuat tuduhan bidaah berkaitan amalan umat Islam sedia ada, contohnya dengan mengatakan bacaan doa Qunut ketika solat Subuh adalah salah serta bacaan talkin dan menyambut Maulidur Rasul juga tidak sepatutnya diamalkan.

“Selain itu, mereka (pengikut Wahabi) sering mengkafirkan ulama serta umat Islam dan menyamakan Allah dengan manusia atau makhluk ciptaan-NYA. Fahaman itu jelas bertentangan dengan ajaran ASWJ,” katanya, di sini.
- -
Kota Bharu: Kes jenayah seksual di negeri ini semakin membimbangkan apabila gadis seawal usia 12 tahun dikesan menjadi mangsa rogol.

Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, mengikut statistik jenayah kes rogol sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini di Kelantan, sebanyak 189 kes dicatatkan.

Beliau berkata, berdasarkan laporan diterima, kebanyakan kes membabitkan perbuatan hubungan suka sama suka selain dapat dikesan apabila keluarga mangsa membuat laporan selepas didapati hamil.

“Kita dapat mengesan kes jenayah seksual ini hanya apabila keluarga mangsa membuat laporan dan polis yakin banyak lagi kes berlaku seperti ini yang tidak dilaporkan.

“Malah, ia turut membabitkan hubungan suka sama suka dan hanya dikesan apabila keluarga mangsa membuat laporan selepas mendapati anak mereka hamil,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Balai Polis Komuniti di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Bandar Baru Tunjung, semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah Bukit Aman Datuk Rusli Ahmad dan Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim.

Menurut Jalaluddin, berdasarkan statistik mengikut daerah, Kota Bharu mencatat kes tertinggi iaitu 45 kes diikuti Bachok dan Pasir Mas (23) manakala Pasir Puteh dan Tanah Merah (22).

Katanya, pil kuda dikesan menjadi antara penyebab kes rogol di negeri ini meningkat kerana penagih biasanya ingin keseronokan selepas mendapat pil itu dan melepaskan nafsu mereka terhadap wanita.

“Saya sedih apabila mendapati ramai remaja di negeri ini masih lagi di alam persekolahan sudah terbabit dalam jenayah seksual hingga ada terpaksa mengambil peperiksaan ketika hamil.

“Kita meminta ibu bapa serta pihak berkuasa seperti sektor pendidikan supaya menjaga pergerakan remaja supaya jenayah seksual dapat dikawal. Kita perlu beringat sebelum ‘nasi menjadi bubur’,” katanya.

Beliau berkata, statistik menunjukkan sebanyak 10,473 tangkapan dibuat di negeri sepanjang tempoh Januari hingga Oktober tahun ini membabitkan pil kuda.

Katanya, daripada jumlah itu, golongan remaja yang terbabit seramai 2,717 iaitu 25 peratus daripada keseluruhan tangkapan.
-
Kuala Lumpur: Bimbang percintaannya dengan lelaki warga Bangladesh tidak direstui, seorang wanita bertindak melangsungkan pernikahan dengan lelaki itu tanpa pengetahuan keluarganya.

Bagaimanapun, pernikahan itu terbongkar apabila ibu wanita berusia 29 tahun itu menyedari perubahan fizikal dirinya menyebabkannya terpaksa menceritakan perkara sebenar.

Dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi Syariah semalam, wanita itu mendakwa bernikah dengan lelaki berusia 30-an itu secara wali hakim di Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat, Kajang melalui pendaftar nikah, cerai dan rujuk.

“Pegawai terbabit tidak bertanya sama ada saya masih mempunyai bapa dan saya juga tidak memberitahu apa-apa kerana nak sembunyikan pernikahan daripada keluarga,” katanya pada prosiding perbicaraan permohonan pengesahan nikah di sini, semalam.

Sementara itu, bapa wanita berkenaan yang hadir memberi keterangan berkata, dia tidak tahu anak perempuannya sudah bernikah dengan lelaki Bangladesh sehinggalah surat nikah anaknya itu tiba di rumahnya di Melaka pada tahun lalu.

“Selepas tahu dia sudah bernikah, saya tanya di mana dia berkahwin dan saya kemudian pergi ke Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat untuk bertanyakan bagaimana pernikahan itu boleh dijalankan tanpa pengetahuan saya.

“Wali mewakilkan pernikahan anak saya itu kemudian memberitahu tiada apa-apa yang boleh dilakukan kerana pernikahan sudah dijalankan. Tiga hari kemudian, mereka menelefon meminta saya datang untuk menjalankan akad nikah kali kedua pada 7 September 2012,” kata warga emas itu.

Sementara itu, saksi kedua yang juga bapa angkat lelaki Bangladesh itu memberitahu mahkamah dia tahu anak angkatnya itu berkawan dengan seorang wanita tempatan, tetapi tidak tahu bila mereka bernikah.

Bagaimanapun, dia memberitahu hadir ke Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat pada pernikahan kali kedua yang turut dihadiri bapa wanita berkenaan. Hakim Syarie Muhamad Abdul Karim Wahab kemudian menetapkan 16 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes bagi meneliti beberapa perkara yang menjadi isu dalam kes itu kerana ia membabitkan sebuah jabatan agama.
-
Kuala Lumpur: Tempoh perkhidmatan guru yang berkhidmat di kawasan pedalaman tidak ditetapkan pada satu jangka waktu tertentu kerana mereka bebas untuk memohon bertukar ke tempat lain.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Ching berkata, adalah menjadi hak, tanggungjawab dan inisiatif guru yang berkhidmat di pedalaman untuk memohon bertukar ke sekolah lain sama ada di kampung atau bandar.

“Guru yang berkhidmat di kawasan pedalaman mendapat beberapa keistimewaan, antaranya elaun khas mengikut lokasi dan tahap kesusahan atau bayaran insentif pedalaman, bayaran insentif tetap perumahan dan elaun balik kampung.

“Insentif berkenaan bertujuan menampung kehidupan mereka di kawasan pedalaman yang kemudahannya tidak sebaik di kawasan pekan atau bandar,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) yang bertanyakan sama ada Kementerian Pendidikan menetapkan tempoh khidmat guru di kawasan pedalaman.

Selain itu, guru yang berkhidmat di kawasan pedalaman turut tidak terkecuali menerima pelbagai anugerah seperti guru cemerlang dan diberi peluang pembangunan kerjaya melalui penyertaan dalam forum dan seminar.
-