Select Menu

Slider

Travel

Performance

Cute

My Place

Slider

Racing

Videos

Ketua Syiah Kedah Abdullah Hassan berkata Mohamad Sabu bukan salah seorang penganut fahaman Syiah, ketika Timbalan Presiden PAS tersebut diserang hebat oleh kerajaan menerusi agensi penguatkuasa agama dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Abdullah berkata sepanjang pemerhatian sejak empat ke lima tahun sebelum ini, beliau tidak melihat Mohamad sebagai seorang yang mengamalkan ajaran Syiah."Saya tidak tahu tentang beliau (Mat Sabu) sama ada berfahaman Syiah atau tidak."Jika diperhatikan sejak empat ke lima tahun sebelum ini, saya tidak nampak dia seorang pengikut Syiah," kata Abdullah yang dipetik berkata dalam akhbar Sinar Harian hari ini.

Sinar Harian juga melaporkan Abdullah tidak pernah berjumpa dengan Mohamad ataupun mempunyai pengetahuan mengenai pembabitan pemimpin nombor dua PAS tersebut dengan fahaman Syiah seperti didakwa KDN.

Abdullah bagaimanapun menegaskan walaupun Mohamad mengkagumi pemimpin besar revolusi Islam Iran Ayatollah Ruhullah Musawi al Khomeini ia bukan bermakna Mohamad adalah penganut Syiah."Persamaan saya dengan Mohamad adalah sama-sama kagum dengan Imam Khomeini tetapi dari perspektif berbeza.

"Syiah bersetuju dengan Khomeini daripada segi mazhab, manakala Mat Sabu mungkin lihat daripada sudut ketokohan pemimpin itu yang membawa revolusi Iran. Tapi itu hak peribadi beliau untuk mengkagumi seseorang tokoh hebat," katanya lagi.

Mohamad dituduh oleh Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai seorang penganut Syiah semasa berucap dalam Perhimpunan Agung Umno 2013 yang berakhir baru-baru ini.Kenyataan beliau menyebabkan Mohamad mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas tuduhan tidak berasas tersebut.

Khamis lalu, Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi mendedahkan 10 bukti penglibatan Mohamad dalam kegiatan Syiah yang kebanyakannya melibatkan perjuangan Khomeini.

Abdul Rahim berkata selain pemikiran Mohamad dikaitkan dengan Khomeini, orang nombor dua PAS itu turut dikatakan beberapa kali menghadiri kelas pengajian di sebuah rumah di Bukit Merah pada 2011 dikendalikan dua orang ustaz berfahaman Syiah yang bertugas di sekolah agama di Gunung Semanggol, Perak.Mohamad mengakui sememangnya mengagumi perjuangan pemimpin besar revolusi Islam Iran Imam Khoneini tetapi itu tidak bermakna dirinya berfahaman Syiah. -http://sedakasejahtera.blogspot.com







Akhirnya pendedahan telah dilakukan!!! KDN telah membawa 10 bukti yang mendakwa Mat Sabu Terlibat dengan syiah.Jadi apa yang berlaku selepas ini apa pun jom kita dengar dulu bukti yang berjaya ditemui oleh KDN

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu muzakarah UMNO-PAS diteruskan, malah mensabotaj melalui psywarnya mahu berdailog semula dengan Barisan Nasional rumus blog thekl-chronicle

Menurut blog itu, Anwar mengeluarkan kenyataan itu selepas usaha muzakarah UMNO-PAS diperkatakan ramai pihak.

“Malah keputusan PAS untuk bermuzakarah dengan Umno baru-baru ini juga, sudah pasti semakin merunsingkan Anwar. Ini kerana sekiranya muzakarah itu dapat dilaksanakan dengan jayanya, maka peranan Anwar akan semakin mengecil.

“Atas sebab itu, Anwar terpaksa mengeluarkan kenyataan bagi menghalang usaha tersebut direalisasikan. Rationalnya apa perlu untuk PAS bermuzakarah secara berasingan dengan UMNO, kerana ia seharusnya dilakukan atas nama pakatan pembangkang.

“Mengapa sekarang Anwar mahu berdialog mengenai pelbagai isu sedangkan jalan yang dipilihnya dulu adalah reformasi melampau, demonstrasi jalanan, demonstrasi ala Arab Spring dan seumpamanya,” dakwa blog itu.

Anwar dilaporkan portal Malaysiakini semalam menggunakan ‘status Pakatan Rakyat’ mengulangi kesediaannya untuk mengadakan dialog dengan BN seiring dengan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan dasar di Perhimpunan Agung UMNO.

“…parti ini tidak akan pernah jemu untuk menghulurkan salam perpaduan dengan mana-mana parti politik,” kata Anwar dalam satu kenyataan ringkas.

Blog thekl-chronicle memepertikaikan keikhlasan Anwar itu kerana berlawanan dengan gerak kerja yang dilakukan selama ini.

“Anwar dalam banyak hal menjadi masalah besar kepada Malaysia kerana sanggup melakukan apa saja dan bercanggah dengan apa yang dilakukannya semasa dalam kerajaan berbanding sebagai Ketua Pembangkang. Isunya jelas, Anwar ingin menjadi Perdana Menteri tetapi proses demokrasi tidak membenarkan ia terjadi.

“Lalu Anwar mencari helah hasil PRU-13 dengan mengadakan demonstrasi ala Arab Spring di seluruh negara tetapi kecundang di tengah jalan.

“Semasa sidang Parlimen bermula beliau mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen sementara pengikutnya berbaring di luar Parlimen membantah keputusan pilihan raya. Apakah maknanya ini semua?

“Mengapakah baru sekarang mahu memilih jalan dialog sedangkan telah sekian lama Anwar tidak memilih jalan itu?,”soal blog itu.

Laman bnbbc.my pula melihat kenyataan Anwar walaupun menggunakan status Pakatan, tetapi masih namapk jelas agenda peribadi.

“Sekali imbas, kenyataan ahli Parlimen Permatang Pauh ini mungkin menggambarkan hanya kesediaan beliau untuk berdialog dengan BN.

“Ini kerana kenyataan itu dibuat bukan oleh Majlis Pakatan Rakyat yang disertai PKR, DAP dan PAS.

“Memang betul, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada muktamar PAS akhir bulan lalu menyatakan kesediaan bermuzakarah isu-isu berkaitan Islam dengan UMNO tetapi ianya barangkali mewakili parti tersebut bukannya pakatan rakyat.

“Persoalannya, adakah Anwar mendapat restu pemimpin DAP dan PAS sebelum membuat kenyataan sedia berdialog dengan BN?, “soal laman itu.

Menurut bnbbc.my jika Anwar serius dan ikhlas, beliau patut mengeluarkan kenyataan bersama sekutunya berhubung perkara tersebut.

“Andai tidak, kenyataan Anwar itu tidak lebih ingin menangguk di air keruh ketika UMNO sedang mengadakan perhimpunan ketika ini.

“UMNO mahupun BN perlu berhati-hati dengan pujukan Anwar ini kerana beliau kini ibarat orang tersepit kerana rakyat yang menyokong pembangkang sudah mula kecewa dan hilang kepercayaan kepada pembangkang yang gagal menawan Putrajaya pada PRU 13.

“Mereka tahu, janji dan pujukan Anwar terhadap rakyat akan sunyi sepi selepas ini kerana PRU 14 masih jauh manakala Ketua Umum PKR itu sendiri berdepan kes liwat yang akan diteruskan perbicaraan tidak lama lagi.

“Justeru itu, kenyataan ulangan Anwar mahu berdialog atau bekerjasama dengan BN hanya ibarat enau melepaskan pucuk masing-masing.”

AIDCNews
KUALA LUMPUR 6 Dis. - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membawa usul untuk memasukkan perkataan Sunnah wal Jamaah dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai memperincikan takrifan Islam sebagai agama persekutuan negara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata usul itu akan dibawa kepada kerajaan untuk dibincangkan bagi menghalang fahaman lain termasuk Syiah daripada berkembang di negara ini.

"Ini adalah untuk memastikan agama rasmi negara adalah berasaskan Sunnah wal Jamaah dan bagi mengelakkan kefahaman lain dikembangkan di negara ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan dua buah buku hasil tulisan Datin Seri Shuryani Datuk Shuaib iaitu isteri Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai cadangan Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairul Azwan Harun untuk mentakrifkan Islam sebagai agama rasmi negara yang diperincikan hanya kepada pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah.

Cadangan itu dibuat pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO yang sedang berlangsung di sini.

Ahmad Zahid berkata dengan memasukkan perkataan itu, tiada penganut agama Islam yang mempunyai fahaman lain dibenarkan mengembangkan fahaman mereka selain Sunnah wal Jamaah.

- BERNAMA

- -
KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Bung Mokhtar Raden menggesa Ahli Parlimen (MP) Kuantan Fuziah Salleh untuk bertaubat kepada Allah S.W.T jika beliau orang Islam kerana sekali lagi berbohong dalam Dewan Rakyat.

Menurutnya lagi, tidak timbul isu beliau harus meminta maaf kerana telah jelas dalam Dewan Rakyat bahawa beliau mempersoalkan keikhlasan Fuziah dalam membawa usul pengisytiharan darurat ekoran bencana banjir yang melanda bandar itu.

“Sebelum ini dia bantah Lynas dia sanggup di Kuantan berminggu-minggu buat demonstrasi tapi apabila rakyat berhadapan musibah, dia bawak dalam Dewan Rakyat usul tersebut.

“Seharusnya dia tak berada di Dewan Rakyat dan pergi ke kawasan seperti (yang dilakukan) Yang Berhormat Paya Besar. Soalan dia (dalam Dewan Rakyat) nombor satu tetapi dia tinggalkan soalan dia dan terus ke Kuantan,” katanya kepada wartawan di luar Dewan Merdeka, Pusat Dangan Dunia Putra (PWTC).

Menurutnya, Fuziahlah yang harus memohon maaf kepada rakyat Kuantan kerana bermain ‘politik murahan’.

“Saya mintak Fuziah bertaubat kepada Allah S.W.T kalau dia orang Islam sebab dia main politik murahan supaya rakyat simpati dia. Rakyat dia, dia boleh bohong tapi dia tak boleh bohong dengan saya,” tegas beliau.

Tambahnya lagi, beliau sendiri sebagai Pengerusi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) telah mengarahkan agensi tersebut menghantarkan bantuan makanan kepada mangsa banjir sehari sebelum Fuziah membawa usul tersebut dalam Dewan Rakyat.

“Ini bermakna saya betul-betul komitmen tinggi ke arah musibah rakyat bukan macam dia,” jelasnya lagi.

Saya boleh aim ucapan dia bila2 sebab dia dah dua kali bohong dalam dewan. Pertama usul potong gaji sebab dia kata Hasbi? jadi Penasihat Ekonomi Sarawak sedangkan Hasbi Pengerusi LPKP.

Menurutnya, beliau tidak kisah dihentam oleh cybertroopers Pakatan Rakyat mengenai isu ini.

“Saya bukan macam wakil rakyat yang lain. Saya tak peduli….mereka jahat, kita jahat,” kata beliau.

Semalam, PAS Pahang, seperti dilaporkan oleh portal Harakahdaily.net, menggesa Bung Mokhtar untuk meminta maaf secara terbuka kepada penduduk Kuantan kerana tindakan Bung Mokhtar dalam Dewan Rakyat seperti mempersendakan usul pengistiharan darurat yang disifatkan sebagai satu penghinaan kepada penduduk Kuantan.

PAS Pahang turut menggesa Bung Mokhtar untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kerana perbuatannya itu.

Dalam masa yang sama Bung Mokhtar mengingatkan PAS untuk tidak bersekongkol dengan penipuan.

“Jangan bersekongkol dengan penipuan, patut la parti mereka tak menang-menang,” tambahnya lagi.
-
KUALA LUMPUR - Bekas anggota Dewan Undangan Negeri Teratai, Jenice Lee Ying Ha hari ini menfailkan saman terhadap DAP, bagi memohon pengisytiharan bahawa beliau masih anggota parti itu.

Jenice, 33, memfailkan writ saman melalui Tetuan Harjit Sandhu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini dan menamakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebagai defendan.

Jenice dalam pernyataan tuntutannya memohon deklarasi supaya keanggotaannya dalam parti itu sejak 2001, dikekalkan.

Selain itu beliau juga memohon injunksi untuk menghalang defendan daripada melucutkan keanggotaannya serta kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Jenice mendakwa pelucutan keanggotaannya oleh defendan, yang hanya diketahui melalui media pada 20 April lepas, adalah tidak sah.

Pada 5 Jun lepas, Jenice memfailkan saman terhadap DAP berhubung pelucutan keanggotaannya dalam parti itu, bagaimanapun pada 28 Oktober, dia menarik balik saman itu. - Bernama
-
KUALA LUMPUR 5 Dis. - Pengurusan syarikat pengeluar roti Gardenia Bakery Sdn. Bhd. yang 30 peratus dikuasai oleh Padi Beras Nasional Berhad (Bernas) diminta menjelaskan tindakannya memberi sumbangan dana kepada portal propembangkang, Malaysiakini.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Cheras, Johari Yazid berkata, umum mengetahui pemegang saham terbesar di dalam Gardenia ialah Bernas yang dimiliki tokoh korporat, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.

Umum juga mengetahui bahawa Malaysiakini adalah portal berita propembangkang yang hanya menghentam dan mencari kesalahan kerajaan pimpinan Barisan Nasional termasuk mempersoalkan fungsi Bernas.

Apakah tujuan Gardenia menyokong Malaysiakini? Apakah sokongan ini telah mendapat persetujuan daripada Bernas? Apakah sokongan ini telah mendapat perkenan pemegang saham terbesar Gardenia?

Oleh itu, Pemuda UMNO Cheras menuntut penjelasan Bernas dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Gardenia, Yap Kim Shin mengenai tindakannya memberi sumbangan dana kepada Malaysiakini," kata beliau dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan Malaysiakini hari ini yang bertajuk Gardenia tampil sokong dana bangunan Mkini memetik Kim Shin sebagai berkata, syarikatnya menyokong usaha Malaysiakini untuk membawakan laporan dan pandangan dengan cara yang betul".

Tidak dinyatakan nilai derma yang diberikan oleh Gardenia itu dalam kempen Malaysiakini memungut derma bagi pembinaan bangunan baharunya di Petaling Jaya.

Laporan portal berita propembangkang itu turut memetik kenyataan Kim Shin bahawa Gardenia sendiri berkongsi pengalaman sama dengan Malaysiakini - menjadi sasaran kepada kritikan secara tidak adil.

Saya rasakan perjalanan Malaysiakini selari dengan pembangunan Gardenia. Kita sama-sama melalui perjalanan panjang dan berliku untuk sampai di tempat kita berdiri sekarang," kata Kim Shin dalam laporan itu.

Johari mempersoalkan apakah Kim Shin sedar bahawa Malaysiakini lebih memihak kepada pembangkang dan laporan-laporan berita yang ditulis seringkali diputar oleh Malaysiakini dengan tujuan untuk memburukkan kerajaan.

Tidak cukupkah dengan isu bangsa Melayu ditindas dari segi ekonomi, kini hadir pula isu Gardenia yang seolah-olah tidak menghargai usaha kerajaan dan bangsa Melayu yang membantu syarikat Gardenia, dan ini yang dibalas oleh mereka," tegas beliau.
-
KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron bersedia memaafkan masyarakat Cina sekiranya benar punca kekalahan beberapa kerusi di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu disebabkan oleh mereka yang tidak menyokong calon Barisan Nasional (BN).

"Kalau benar kemerosotan sokongan kepada BN boleh dituding jari kepada rakan kita yang berketurunan Cina, saya dengan hati terbuka memaafkan mereka dan ingin menganjurkan supaya marilah bersama-sama saya untuk kembali ke pangkal jalan dan menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi pembangunan yang lebih kukuh.

"Jadi di peringkat negeri Melaka, saya dengan rela hati jika mereka (pengundi Cina) mahukan kemaafan... saya akan berikan, yang lebih penting adalah ayuh bersama-sama kembali bersama BN. Marilah kita satukan pemikiran, hati dan tindakan kita untuk bersama-sama membina masa depan yang lebih cemerlang ," katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Media RTM di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Terdahulu, bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam menyalahkan kaum Cina sebagai punca utama kekalahan beliau dan menyebabkan BN gagal meraih dua pertiga majoriti kerusi di negeri itu pada PRU-13 lalu.
-
SHAH ALAM - Isu penolakan pendakwah terkenal, Ustaz Mohammad Kazim Elias atas pelantikan sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno turut mendapat respons daripada bekas pemimpin kanan Umno.

Tan Sri Dr Rais Yatim menyifatkan pelantikan MT ke atas bukan ahli adalah salah di sisi peraturan parti.

“Ustaz Kazim tolak menjadi ahli MT, yang cadangkan beliau itu kenalah jawab.

“Kenap tak buat kaji selidik dahulu? Terus-terus menjadi ahli MT salah di sisi peraturan,” katanya yang dipetik dari laman mikro Twitter, malam tadi.
Dalam kemas kini berikutnya, beliau meminta Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya terus memformulakan kuasa politik Melayu masa depan.

Ustaz Kazim mengumumkan menolak pelantikan tersebut kerana mahu menjadi pendakwah yang boleh bergerak bebas dalam usahanya memartabatkan perpaduan umat Islam negara ini.

Beliau berterima kasih atas tawaran Presiden Umno itu namun tetap dengan keputusan untuk tidak menerimanya.

ARTIKEL BERKAITAN
-
Gardenia Bakeries Sdn Bhd tampil menyokong media bebas dengan menyumbang kepada kempen kutipan dana Malaysiakini untuk bangunan baru di Petaling Jaya.

"Gardenia percaya bahawa kebenaran akan tersingkap akhirnya, dengan itu, Malaysiakini melakukan apa yang benar kepada masyarakat melalui liputan berita yang telus," kata CEO Gardenia Yap Kim Shin (kiri).

Yap berkata, syarikatnya menyokong usaha Malaysiakini untuk membawakan laporan dan pandangan dengan cara yang betul.

"Selagi kamu menulis tentang kebenaran, itu saja, kerana di penghujung hari, kebenaran adalah satu-satunya berita yang benar," tambahnya.

Di sebalik falsafah itu, kata Yap, Gardenia sendiri berkongsi pengalaman sama dengan Malaysiakini - menjadi sasaran kepada kritikan secara tidak adil.

"Saya rasakan perjalanan Malaysiakini selari dengan pembangunan Gardenia.

"Kita sama-sama melalui perjalanan panjang dan berliku untuk sampai di tempat kita berdiri sekarang," tambahnya.

Yap menyambut CEO Malaysiakini Premesh Chandran dan pasukan portal berita itu di kilangnya di Shah Alam semalam.

-
IPOH – Penceramah bebas, Mohammad Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim berkata, pihaknya telah menyenaraikan tiga nama untuk dipertimbangkan sebagai calon Majlis Tertinggi (MT) Umno selepas beliau mengumumkan tidak menerima lantikan tersebut.

Menurutnya, tiga nama yang terdiri daripada pendakwah bebas dan tidak menaungi mana-mana parti politik itu telah diserahkan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk diputuskan.

“Sebelum saya dipilih, saya difahamkan ada 15 calon lain selain saya dan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim), Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

“Bila Najib minta pendapat saya untuk nyatakan siapa yang boleh gantikan tempat saya, saya beri tiga nama, cuma saya pun tak pasti adakah nama yang saya calonkan itu termasuk atau tidak dalam 13 calon lain sebelum ini,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Kelmarin, Ustaz Kazim mengumumkan menolak pelantikan beliau sebagai Ahli MT Umno dan pengumuman tersebut dibuat beliau di hadapan kira-kira 2,000 hadirin dalam program ceramah agama di Taman Ria, di Sungai Petani, Kedah.

Pada Jumaat lalu, Umno mengumumkan pelantikan sembilan anggota MT, antaranya Ustaz Kazim dan Asyraf Wajdi.

Selepas pengumuman terbabit dibuat, Ustaz Kazim menerima pelbagai tohmahan dan fitnah termasuk daripada pemimpin dan ahli parti politik dan beliau kemudiannya mengambil keputusan untuk keluar daripada Pas.

Tambah Ustaz Kazim, tiga nama yang dikemukakannya merupakan tokoh agama dan amat terkenal di negara ini dan berada di luar Perak.

“Cuma saya tak boleh la nak sebut siapa, tapi apa yang pasti mereka ini berpelajaran lebih tinggi dari saya dan Najib pun nyatakan beliau kenal dengan ketiga-tiga individu terbabit.

“Saya pun tak tahu Najib pilih yang mana malah kalau saya cakap nama mereka nanti apa pula kata mereka nanti, jadi kita tunggulah presiden yang umumkan,” katanya lagi.

Beliau menambah, walaupun tidak menjadi ahli MT Umno, beliau sentiasa bersedia untuk memberi pandangan dan cadangan kepada Najib demi kebaikan umat Islam.

“Saya ada cadangkan kepada Najib pada pertemuan saya dengan beliau sebelum ini dan antaranya adalah untuk menubuhkan Majlis Ulama Intelektual yang mana badan ini bukan berada dalam Umno dan Alhamdulillah, beliau terima baik cadangan ini.

“Pendakwah dalam badan ini tidak ada parti malah tidak ada kepentingan dan mereka ikhlas menegur demi kepentingan Islam dan semua pihak. Najib beri respons yang baik atas cadangan saya itu dan jika ia dilaksanakan, saya akan terima amanah yang diberikan,” katanya.
-
KUALA LUMPUR: Ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak pada perhimpunan agung parti, pagi ini turut menyelitkan klip video pendek mengenai tuduhan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Barisan Nasional (BN) membawa masuk 40,000 warga Bangladesh pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.

Video itu memuatkan beberapa ucapan Anwar di beberapa majlis dan tempat yang berulang-ulang membuat tuduhan mendakwa kononnya UMNO dan BN menggunakan sejumlah warga Bangladesh sebagai pengundi hantu.

Sehubungan itu, Perdana Menteri melahirkan kekecewaannya apabila pihak pembangkang tidak henti-henti mencanang tuduhan palsu berkenaan.

"Perkara ini nampaknya kita tak dapat bendung-bendung lagi untuk dirungkaikan misterinya.

"Lantaran, ketika lawatan rasmi saya ke Dhaka, Bangladesh, baru-baru ini, saya terpanggil untuk mengucapkan orang Bangladesh panggil, ‘Dhonnobad’ yakni terima kasih dalam bahasa Bengali kepada Perdana Menterinya, Sheikh Hasina, kerana membantu menyedia sekian banyak rakyatnya sebagai pengundi seperti dimomokkan oleh pembangkang.

"Ternyata, bak kata orang Pekan, maaf cakap, sampai terkejut Sheikh Hasina sambil menggeleng-gelengkan kepala dengan tegas beliau menafikan bahawa perkara itu tidak benar sama sekali," katanya pada Perhimpunan Agung UMNO 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menggariskan lima pelan transformasi yang perlu dilaksanakan bagi menjadikan UMNO terus menjadi parti harapan untuk masa depan.

Beliau berkata, transformasi pertama ialah memperteguh ekonomi Melayu dan Bumiputera.

"Seperti semua maklum, populasi Melayu dan Bumiputera, Islam dan bukan Islam di Malaysia adalah sebanyak 67.9 peratus melebihi dua pertiga jumlah keseluruhan rakyat Malaysia.

"Sebagai kaum majoriti, agenda pemerkasaan ekonomi Melayu dan Bumiputera, sewajibnya menjadi agenda teras nasional. Apa guna jika negara kita maju, tetapi rakyat majoritinya terpinggir dan tidak terbela," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO bertema "UMNO: Membina Masa Depan" di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, sebentar tadi.

Presiden UMNO berkata, menjelang negara maju kelak, UMNO hendak melihat orang Melayu dan Bumiputera mencapai tahap kemajuan yang setanding dengan orang lain tanpa meminggirkan pembelaan terhadap mana-mana golongan.

Katanya, transformasi kedua ialah mempertegak Maqasid Syariah.

Beliau berkata, dari dulu, UMNO tidak pernah berhenti memperjuangkan ketertinggian Islam dan syiarnya.

"Kita berpegang kepada prinsip Maqasid Syariah yang membela dan memelihara lima tunjang utama yakni agama, nyawa, akal, harta dan keturunan.

"Bercakap tentang Islam lagi, selama puluhan tahun di bawah pimpinan UMNO, Malaysia sudah menjadi `enabler' atau pemboleh kepada syiar amalannya," katanya.

Najib berkata, pengisian transformasi ketiga pula memperkukuh pengkaderan parti.

"Dalam memperkatakan hal ini, UMNO perlu sentiasa beringat-ingat. Kita bina negara ini untuk siapa? Tentunya untuk generasi muda. Kita bina dan jaga parti ini untuk siapa? Tentunya untuk ditinggalkan kepada pewaris dan pelapis..

"Menyedari hakikat bahawa untuk melahirkan pemimpin masa depan mengambil tempoh yang lama, maka parti UMNO perlu mengkader ahli-ahli baru dan orang-orang muda supaya parti UMNO ini menjadi sebuah parti yang lestari sampai bila-bila," katanya.

Beliau berkata, dalam konteks UMNO, program mendoktrinkan jati diri parti kepada ahli agar budaya kepartian, berakar umbi, terpateri dan tersemat kukuh dalam sanubari semua sebagai landasan perjuangan.

Selain itu, katanya, transformasi keempat ialah mempersiaga jentera transformatif.

Najib berkata, adalah menjadi lumrah dalam setiap organisasi yang berjaya di belakangnya wujud jentera dikemudi oleh ahli yang penuh dedikasi, komited dan kental dalam membawa aspirasi dan obor perjuangan.

"Jika kuat jenteranya, maka gagahlah organisasi terbabit, jika lemah maka tidak bermayalah parti. Dalam hal ini, UMNO harus sedar bahawa dunia
maya atau internet akan mempertahankan kubu dan bertanggungjawab menyerang pihak lawan serta merintis jalan ke hadapan," katanya.

Sementara itu, Presiden UMNO berkata, pengisian transformasi kelima berkisar kepada menetap petunjuk prestasi utama (KPI) UMNO.

Katanya, bagi memastikan perjalanan jentera UMNO dapat bergerak dengan lebih berkesan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kelak, beliau akan memperkenalkan KPI untuk setiap bahagian dan negeri.

"Melalui pelaksanaan KPI ini, sebagai Presiden parti, saya mahukan setiap cawangan, bahagian dan negeri dipantau dan diaudit secara berkala untuk dinilai prestasi serta pencapaian setiap negeri, bahagian atau cawangan.

"Melalui kaedah ini, sebarang isu, masalah atau ketidakpatuhan yang berlaku boleh dikesan dan tindakan korektif dapat diambil dengan segera," katanya.
Bekas artis dan pelakon Bob Lokman dimasukkan ke wad kecemasan Hospital Taiping pagi tadi selepas mengadu sesak nafas.

Laman blog pro kerajaan kini banyak mengambil kejadian Bob dimasukkan ke hospital kerajaan sebagai menempelak ceramah-ceramahnya yang sering mencemuh kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Menurut beberapa laman blog itu, sebelum dimasukkan ke hospital difahamkan Bob menikmati jamuan buah durian di satu program di Kuala Kangsar.

Ustaz Nazmi Karim dalam laman sosial meminta orang ramai mendoakan kesihatan Bob.

Mungkin ini petanda bagi Bob agar kurang-kurangkan sikit ceramah pedas dan menempelak kerajaan ya… Hujung-hujung ke hospital kerajaan juga.
- -
IPOH - [kemaskini] Selepas pelbagai spekulasi dan tohmahan yang diterima pendakwah, Mohammad Kazim Elias terhadap perlantikan beliau sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno sebelum ini, beliau hari ini tampil memberikan penjelasan.

Menurut Mohammad Kazim atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim, beliau tetap dengan pendirian untuk menolak tawaran menjadi MT Umno disebabkan tiga perkara iaitu komitmen luar sebagai penceramah, mahu menjaga urusan pentadbiran Pusat Pendidikan Al-Barakah dan ingin menjaga nama baik Umno daripada terus difitnah.

Biarpun keputusan yang dibuat itu muktamad, Pengetua Pusat Pendidikan Al-Barakah itu tetap terbuka untuk memberikan idea dan cadangan yang membina kepada perdana menteri terhadap agenda transformasi agama di dalam Umno.

Mohammad Kazim berkata dalam pertemuan selama sejam dengan Najib di bangunan Parlimen, perdana menteri memaklumkan tawaran untuk melantiknya sebagai anggota MT Umno dibuat selepas mendapatkan pandangan empat Mufti.

"Perdana menteri memberitahu pelantikan saya adalah untuk memberi nasihat kepada ahli-ahli Umno dan memperkasakan agenda umat Islam dari peringkat sekolah rendah hingga menengah.

"Saya nampak perdana menteri sangat terbuka dalam hal agama dan meminta saya merangka satu sistem pendidikan terbaik bagi membentuk generasi muda menjadi orang yang lebih baik," kata Mohammad Kazim, yang merupakan antara sembilan orang yang dilantik ke jawatan itu pada 29 Nov lepas.

Beliau bagaimanapun tetap kecewa dengan tuduhan orang ramai dalam laman sosial dan blog yang melabelnya dengan pelbagai gelaran seperti syaitan bisu, anak babi, gila glamer dan mahukan duit melalui jawatan dalam MT.

"Saya belum lagi beri jawapan mereka dah maki hamun. Macam mana orang Pas yang dikatakan memperjuangkan Islam boleh kata macam tu? Sepuluh tahun saya berkecil hati dengan mereka kerana membuat tohmahan buruk terhadap saya.

"Masa Kedah diperintah Pas saya digam walaupun bukan ahli Umno. Poster gambar saya dilukis dengan bertanduk seolah-olah syaitan. Kemuncaknya mereka kata saya anak babi menyebabkan saya ambil keputusan meninggalkan Pas," katanya. - Bernama
-
KUALA LUMPUR - Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak acap kali menekankan bahawa amat penting bagi anggota Umno celik teknologi maklumat dan media baharu, sekali gus membolehkan mereka mempengaruhi dan memenangi perang dunia maya.

Gambar di muka hadapan sebuah akhbar utama berbahasa Inggeris hari ini yang memaparkan Perdana Menteri memegang telefon pintar semasa menyampaikan amanat pada majlis Taklimat Presiden menjelaskan kepentingan celik IT dan media sosial.

Malangnya tatkala teknologi maklumat dan media sosial kini menjadi satu medium penghubung bagi memudahkan komunikasi, masih ramai anggota Umno yang ketinggalan dalam perkembangan dunia IT termasuk tidak mempunyai mel elektronik atau e-mel.

Ini belum lagi menyentuh tentang penguasaan laman blog, Facebook, Twitter, Instagram atau apa jua aplikasi teknologi pintar lain yang memberi maklumat di hujung jari.

Menyifatkan ia sebagai satu situasi yang agak mengecewakan, Pengerusi Tetap Wanita Umno Tan Sri Napsiah Omar berkata perkara itu tidak wajar berlaku di zaman serba canggih masa ini, apatah lagi ketika Umno sedang giat melakukan transformasi.

"Di zaman perkembangan dunia (diketahui) di hujung jari... masih ada lagi anggota Wanita bila ditanya alamat e-mel pun mereka tidak ada. Bagaimana sebuah pergerakan yang menjadi tulang belakang Umno, anggotanya masih belum mempunyai e-mel yang penting itu?" katanya ketika ditemui Bernama.

Napsiah berkata media sosial mempunyai kekuatan dan impak tersendiri kepada semua golongan masyarakat dan pendekatan mempelopori teknologi maklumat itu sepatutnya menjadi iltizam utama kepada Wanita.

Jelasnya, biarpun sudah melewati usia 40 tahun ke atas, ia tidak seharusnya menjadi penghalang kepada anggota Wanita untuk mahir dalam dunia IT dan mengetahui perkembangan semasa dengan lebih pantas.

"Wanita ada peranan yang penting, mereka mesti dikemas kini dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka... di seluruh dunia.

"Sekarang, dalam satu saat pun berita boleh berubah... sebab itulah kita mahu semua anggota Wanita mengikuti peredaran masa dan memanfaatkan teknologi maklumat," katanya.

Pemerhati politik Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz berkata teknologi maklumat bukan sekadar menjadi medium penghubung dan pengumpul maklumat namun ia juga menjadi satu aspek penting untuk menjadikan Wanita kekal relevan pada masa kini.

Beliau berkata pergerakan Wanita terutama pemimpin tertinggi perlu lebih ke hadapan dalam mengejar maklumat terkini supaya mereka bukan sahaja tidak ketinggalan tetapi mampu menyampaikan maklumat terkini kepada masyarakat.

"Hendak tak hendak, IT sudah menjadi satu keperluan pada zaman kini, apa jua golongan pun, terutama anggota sesebuah pergerakan yang mempunyai tanggungjawab kepada masyarakat perlu mengenali dan mahir IT.

"Tidak ada alasan sebenarnya untuk anggota Wanita atau sesiapa sahaja tidak mahu mengenali IT atau memiliki e-mel kerana masing-masing hampir kebanyakannya menggunakan telefon pintar," katanya.

Shamrahayu berkata Wanita harus akur bahawa penggunaan IT menjadi sebahagian daripada kehidupan masa kini kerana ia dapat menjimatkan masa berhubung tanpa perlu bersua muka.

Menerusi aplikasi percuma yang boleh dimuat turun ke telefon pintar seperti Whatsapp dan Blackberry Messenger (BBM), beliau berkata seseorang bukan sahaja boleh membentuk kumpulan untuk sesi perbincangan tetapi juga menghantar maklumat, fail dan imej dengan cepat untuk perhatian ahli.

"Kalau sibuk sekalipun dan tidak sempat turun padang, mereka masih boleh berkomunikasi sekaligus menjadikan hubungan sesama ahli dan masyarakat lebih akrab," katanya. - Bernama
KUALA LUMPUR - Isu muzakarah di antara Pas-Umno - yang disifatkan pemimpin Pas Umno salah faham mengenainya, turut menarik perhatian Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin ketika menyampaikan ucapan dasarnya, hari ini.

Dalam nada optimis, Khairy berkata, Pemuda menyambut baik idea muzakarah ini, dalam erti kata lain, penyatuan di antara kedua-dua parti itu.

Jelas Khairy, Pemuda Umno tidak menolak apa-apa kebarangkalian, cuma harapnya idea muzakarah ini lahir ikhlas dari hati Pas sendiri.

Lagipun ujarnya, idea ini merupakan satu langkah murni untuk menyatupadukan orang Melayu.

"Harapnya janganlah idea muzakarah itu sekadar untuk menggertak DAP...

"Bagi Pemuda Umno, ianya satu langkah yang murni... demi kelangsungan survival ummah, bangsa dan agama.

"Anak punai anak merbah, terbang turun meredah awan, Umno dan Pas satu ukhuwah, rapatkan jurang berpisah jangan," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Umno di PWTC hari ini.

Isu muzakarah antara Pas dan Umno ini timbul semula, selepas Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini menjelaskan, Pas menyatakan kesedian untuk mengadakan muzakarah dengan Umno demi kelangsungan Melayu dan agama Islam.
-
KUALA LUMPUR - Gagasan progresif yang diperkenalkan Pemuda Umno bukan sekadar sembang kosong atas angin, sebaliknya telah dizahirkan melalui program yang membuahkan perubahan di akar umbi.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, ini telah terbukti apabila pelbagai isu yang membelenggu rakyat telah diperjuangkan oleh Pemuda Umno.

"Lima rukun Pemuda Umno iaitu Berprinsip, Inklusif, Relevan, Proaktif dan Bersatu telah dirangkumkan dalam satu pendekatan baru yang lebih progresif. Progresif bukanlah bermakna lupa diri atau perjuangan asas.

"Percaya kepada pendekatan berbeza dan moden juga tidak bermaksud Pemuda menggadaikan identiti dan perjuangan bangsa merdeka. Sebaliknya, melalui pendekatan ini, Pemuda telah bergerak atas dasar politik khidmat bakti sebagai perjuangan kita," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar di Perhimpunan Agung Umno 2013, di sini.

Katanya, nasib anak bangsa masih di takuk lama sekiranya pendekatan sekadar melaungkan slogan terus diamalkan.

"Walaupun ada di antara kita berasa cukup dengan hanya bersorak 'Hidup Melayu', kita jangan ambil pendekatan serupa. Hidup Melayu itu sudah ketentuan, tapi soalnya kita mahu Melayu hidup bagaimana?

"Yang penting ialah hasil dan keberkesanan program kita daripada melaungkan slogan semata-mata. Sudah tentu lebih mulia apabila Melayu hidup bermartabat dari merempat," katanya.

Dalam pada itu, katanya, Pemuda juga tidak lagi boleh bergantung dengan formula lama iaitu bertindak sebagai 'geng pendesak'.

"Kita membangkitkan semangat dan emosi, tetapi gagal meninggalkan kesan jangka panjang untuk agama, bangsa dan negara. Bukan niat mahu memperkecilkan pendekatan lama di mana Pemuda dilihat sebagai kumpulan pendesak kerajaan pasca merdeka.

"Namun, zaman sudah berubah dan masyarakat kini lebih mementingkan keberhasilan dan kebertanggungjawaban. Rakyat tidak lagi lut dengan retorik sekiranya tidak memberi kesan progresif kepada mereka," katanya.
SUNGAI PETANI 4 Dis. - Penceramah bebas, Mohammad Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim mengumumkan menolak pelantikan beliau sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Pengumuman tersebut dibuat beliau di hadapan kira-kira 2,000 hadirin dalam program ceramah agama di Taman Ria, di sini, malam tadi.

Ustaz Kazim berkata, beliau akan mengumumkan secara rasmi melalui sidang akhbar hari ini.

Pada Jumaat lalu, UMNO mengumumkan pelantikan sembilan anggota MT, antaranya Ustaz Kazim dan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim) Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Selepas pengumuman terbabit dibuat, Ustaz Kazim menerima pelbagai tohmahan dan fitnah termasuk daripada pemimpin dan ahli parti Pas.

Lantaran itu, kelmarin, beliau mengambil keputusan untuk keluar daripada Pas. - UTUSAN ONLINE
- -
Kelmarin, UMNO mengumumkan pelantikan sembilan ahli Majlis Tertinggi (MT) parti itu. Menariknya, muka baru yang dilantik termasuklah pendakwah terkenal, Mohammad Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim.

Tahniah dan syabas kita ucapkan kepada Ustaz Kazim kerana berani menerima pelantikan itu. Sememangnya tidak ramai tokoh agama mahu masuk UMNO mungkin kerana takut dikritik dan dicemuh atau bimbang kehilangan populariti.

Malah, sebaik tersebar berita pelantikan Ustaz Kazim, ramai pihak membuat pelbagai komen negatif dan melabelkan tokoh agama itu sebagai macai dan anjing UMNO.

Kalau sebelum ini hos program Kalau Dah Jodoh itu dikagumi dan dihormati, tetapi dalam sekelip mata Ustaz Kazim dihina seolah-olah tokoh agama itu melakukan dosa besar semata-mata kerana menyertai UMNO.

Fenomena ini bukanlah baru. Sudah ramai ulama dan tokoh agama melalui episod yang sama apabila menyertai UMNO atau menampakkan kecenderungan menyokong UMNO atau kerajaan.

Apakah status ulama atau tokoh agama akan gugur secara automatik apabila menyertai atau menyokong UMNO dan kerajaan? Adakah menjadi satu kesalahan atau larangan bagi tokoh agama untuk berpolitik atas platform UMNO?

Ironinya, tidak pula berlaku polemik atau kontroversi apabila ulama atau tokoh agama bermain politik atas pentas PAS.
Lebih mengejutkan, personaliti yang baru sehari dua mendalami agama dipuja dan pandangannya diterima kerana berceramah atas pentas PAS.

Sebab itu, kebelakangan ini kita melihat semacam satu trend banyak ulama atau ustazah ekspres dilahirkan PAS. Ini termasuklah di kalangan artis, pesara kerajaan dan tokoh korporat. Malah, pemimpin bukan Islam dari parti sekutu PAS – DAP dan PKR pun boleh jadi ulama ekspres.

Mungkinkah ini muslihat PAS untuk menguatkan lagi persepsi umat Islam Melayu kononnya UMNO bukan parti yang memperjuangkan Islam?

Hakikatnya, PAS kini semakin jauh menyimpang daripada perjuangan asalnya. Malah, pengaruh ulama dalam PAS juga semakin terhakis seperti yang dicerminkan dalam pemilihan parti itu, baru-baru ini.

Sebaliknya, UMNO terus konsisten memperjuangkan agenda Islam. Terbaru, UMNO memasukkan cadangan penubuhan suruhanjaya bagi memelihara kepentingan dan kesucian Islam dalam usul agama yang akan dibentangkan pada perhimpunan agung parti itu, bermula esok.

Perlembagaan UMNO berkaitan status Islam juga mahu dipinda bagi memperkukuhkan lagi agenda memperjuangkan Islam. Bagi merealisasikan agenda ini, sudah tentu UMNO memerlukan sokongan ulama dan cendekiawan Islam.

Justeru, kita berharap lebih ramai ulama dan tokoh agama mencontohi Ustaz Kazim yang sanggup mengorbankan popularitinya demi kepentingan agama, bangsa dan negara. Insya-Allah.
- -